Dalam literasi membaca untuk belajar
teknik ini bertujuan untuk :
(1) menyediakan murid dengan sistem
pendekatan membaca untuk membuat semakan awal (preview) bab kandungan
(2) menyediakan guru dengan pendekatan
tambahan untuk digunakan sebagai persediaan murid untuk membaca teks. Dari segi
pelaksanaan, teknik ini menyediakan guru mata pelajaran dengan kaedah yang
sistematik dan merupakan langkah pertama dalam kaedah membaca SQ3R. Melalui
penggunaan teknik ini secara kerap, seseorang guru dapat memandu murid memahami
kepentingan melakukan semakan awal sebelum membaca sesebuah teks. Aukerman
(1972) mencadangkan 6 langkah prosedur yang boleh digunakan jika kandungan buku
teks disusun secara tradisi. Teknik ini akan menjadi lebih mudah jika kandungan
bab dalam buku teks tersebut disusun mengikut urutan seperti yang berikut:
· Judul bab
· Pengenalan
· Tajuk utama
dengan subtajuk
· Ringkasan
·
Soalan-soalan reviu, dan
· Latihan
Berdasarkan format di atas, guru boleh
mengadaptasikan 6 langkah yang dicadangkan Aukerman dengan cara yang berikut:
Analisis Judul Bab. Selepas membaca teks bersama-sama dengan murid, guru boleh
bertanya murid beberapa soalan seperti, “Apakah pendapat anda tentang perkara
yang diceritakan oleh penulis?” “Sejauh manakah anda telah mengetahui kandungan
yang dibincangkan dalam topik ini?” “Bagaimanakah kandungan bab ini berkaitan
dengan bab yang telah kita baca sebelum ini?”. Aktiviti ini boleh disertai oleh
semua murid, tanpa mengira tahap kebolehan membaca mereka.
Analisis Subtajuk.
Guru akan mencatatkan
semua subtajuk di papan putih atau menayangkannya untuk membantu murid memahami
secara keseluruhan judul bab. Teknik ini sama dengan langkah dua dalam SQ3R,
iaitu murid membentuk soalan. Murid dikehendaki menukarkan semua subtajuk dalam
bentuk soalan. Penukaran subtajuk dalam bentuk soalan ini lebih memudahkan
murid untuk memahami tujuan spesifik pembacaan bagi setiap subtajuk tersebut.
Contohnya, bagi subtajuk “Cerpen” ditukarkan dalam bentuk soalan menjadi
“Apakah ciri-ciri cerpen?”. Melalui soalan ini, murid menjadi lebih jelas tentang
maklumat yang hendak dicari. Soalan-soalan ini boleh dibuat secara sumbangsaran
kelas atau kumpulan kecil atau individu. Jika soalan itu dicadangkan oleh
kelas, guru mencatatkan cadangan murid di papan putih dan dibincangkan
kesesuaiannya. Aktiviti seperti ini boleh dijalankan pada peringkat awal. Jika
murid sudah biasa, aktiviti individu lebih sesuai. Sama ada soalan-soalan itu
dibina secara kelas atau individu, teknik ini dapat memandu murid membaca
dengan lebih berkesan, terutama apabila murid diarahkan membaca teks dengan
lebih terperinci.
Analisis Visual.
Biasanya maklumat dalam
sesebuah bab boleh diperoleh dalam bentuk visual. Sebahagian murid tidak
menghiraukan maklumat ini manakala sebahagiannya pula tidak memiliki kemahiran
untuk menterjemahkan maklumat dalam bentuk visual. Langkah ini memberi peluang
kepada guru untuk memberi penekanan kepada murid tentang kepentingan maklumat
visual. Jika perlu, terutama kepada murid yang belum mahir, guru perlu mengajar
murid kaedah untuk memperoleh maklumat daripada teks visual. Contohnya: guru ingin mengajar watak dan perwatakan dalam cerpen Gelung Terpokah. Guru tersebut perlu memaparkan gambar hiasan yang sesuai dengan watak yang ada dalam cerpen tersebut bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat serta bayangan terhadap karya cerpen.
Perenggan Pengenalan.
Ramai penulis buku
teks menggunakan perenggan pertama dan perenggan kedua sebagai memperkenalkan
idea-idea penting dalam bab yang akan dibaca. Murid boleh diarahkan untuk
membaca perenggan ini secara senyap sebelum guru dan murid melakukan
perbincangan. Perbincangan ini sepatutnya tertumpu pada bagaimana maklumat dalam
perenggan pengenalan ini selari dengan maklumat yang diperoleh dalam tiga
langkah sebelum ini. Guru boleh mengemukakan soalan untuk mendapatkan respons
daripada murid. Contohnya, “Sekarang kita telah membaca permulaan cerpen. Bolehkah ceritakan, bagaimanakah maklumat yang terdapat dalam permulaan ini menyokong sebahagian daripada maklumat yang telah
diperoleh semasa kita melakukan tinjauan bab ini?”.
Perenggan Penutup.
Biasanya perenggan
penutup bagi bab dalam buku teks adalah ringkasan tentang isi kandungan bab
tersebut. Dengan membaca ringkasan tersebut sebelum melakukan pembacaan bab
sepenuhnya secara terperinci, pelajar akan memperoleh pengesahan tambahan
tentang apa-apa yang diperoleh dalam semua langkah tinjauan sebelum ini. Mengesan
Idea Utama. Aukerman mencadangkan, selain langkah 4 dan 5, iaitu membaca dan
berbincang tentang maklumat dalam perenggan pengenalan dan perenggan
penutup,seluruh kelas perlu berbincang dan membina sebuah pernyataan yang
ringkas dan padat(concise) untuk menggambarkan idea utama bab tersebut.
Pernyataan tersebut perlu dilihat oleh semua pelajar, sama ada ditulis di papan
putih atau ditayangkan melalui tranperensi. Dengan menguasai kemahiran ini,
murid bersedia untuk membaca buku-buku teks mata pelajaran sekolah dengan lebih
terperinci. Dalam pengajaran cerpen, guru haruslah merumuskan idea-idea utama yang terdapat dalam cerpen sebagai imbas kembali kejadian atau peristiwa penting dalam cerpen tersebut.