Sunday, 7 December 2014

TEKNIK TINJAUAN




Dalam literasi membaca untuk belajar teknik ini bertujuan untuk :

(1) menyediakan murid dengan sistem pendekatan membaca untuk membuat semakan awal (preview) bab kandungan
(2) menyediakan guru dengan pendekatan tambahan untuk digunakan sebagai persediaan murid untuk membaca teks. Dari segi pelaksanaan, teknik ini menyediakan guru mata pelajaran dengan kaedah yang sistematik dan merupakan langkah pertama dalam kaedah membaca SQ3R. Melalui penggunaan teknik ini secara kerap, seseorang guru dapat memandu murid memahami kepentingan melakukan semakan awal sebelum membaca sesebuah teks. Aukerman (1972) mencadangkan 6 langkah prosedur yang boleh digunakan jika kandungan buku teks disusun secara tradisi. Teknik ini akan menjadi lebih mudah jika kandungan bab dalam buku teks tersebut disusun mengikut urutan seperti yang berikut:

· Judul bab

                  · Pengenalan

                  · Tajuk utama dengan subtajuk

                  · Ringkasan

                  · Soalan-soalan reviu, dan

                  · Latihan


Berdasarkan format di atas, guru boleh mengadaptasikan 6 langkah yang dicadangkan Aukerman dengan cara yang berikut: Analisis Judul Bab. Selepas membaca teks bersama-sama dengan murid, guru boleh bertanya murid beberapa soalan seperti, “Apakah pendapat anda tentang perkara yang diceritakan oleh penulis?” “Sejauh manakah anda telah mengetahui kandungan yang dibincangkan dalam topik ini?” “Bagaimanakah kandungan bab ini berkaitan dengan bab yang telah kita baca sebelum ini?”. Aktiviti ini boleh disertai oleh semua murid, tanpa mengira tahap kebolehan membaca mereka.

Analisis Subtajuk.
Guru akan mencatatkan semua subtajuk di papan putih atau menayangkannya untuk membantu murid memahami secara keseluruhan judul bab. Teknik ini sama dengan langkah dua dalam SQ3R, iaitu murid membentuk soalan. Murid dikehendaki menukarkan semua subtajuk dalam bentuk soalan. Penukaran subtajuk dalam bentuk soalan ini lebih memudahkan murid untuk memahami tujuan spesifik pembacaan bagi setiap subtajuk tersebut. Contohnya, bagi subtajuk “Cerpen” ditukarkan dalam bentuk soalan menjadi “Apakah ciri-ciri cerpen?”. Melalui soalan ini, murid menjadi lebih jelas tentang maklumat yang hendak dicari. Soalan-soalan ini boleh dibuat secara sumbangsaran kelas atau kumpulan kecil atau individu. Jika soalan itu dicadangkan oleh kelas, guru mencatatkan cadangan murid di papan putih dan dibincangkan kesesuaiannya. Aktiviti seperti ini boleh dijalankan pada peringkat awal. Jika murid sudah biasa, aktiviti individu lebih sesuai. Sama ada soalan-soalan itu dibina secara kelas atau individu, teknik ini dapat memandu murid membaca dengan lebih berkesan, terutama apabila murid diarahkan membaca teks dengan lebih terperinci.

Analisis Visual.
Biasanya maklumat dalam sesebuah bab boleh diperoleh dalam bentuk visual. Sebahagian murid tidak menghiraukan maklumat ini manakala sebahagiannya pula tidak memiliki kemahiran untuk menterjemahkan maklumat dalam bentuk visual. Langkah ini memberi peluang kepada guru untuk memberi penekanan kepada murid tentang kepentingan maklumat visual. Jika perlu, terutama kepada murid yang belum mahir, guru perlu mengajar murid kaedah untuk memperoleh maklumat daripada teks visual.  Contohnya: guru ingin mengajar watak dan perwatakan dalam cerpen Gelung Terpokah. Guru tersebut perlu memaparkan gambar hiasan yang sesuai dengan watak yang ada dalam cerpen tersebut bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat serta bayangan terhadap karya cerpen.

Perenggan Pengenalan. 
Ramai penulis buku teks menggunakan perenggan pertama dan perenggan kedua sebagai memperkenalkan idea-idea penting dalam bab yang akan dibaca. Murid boleh diarahkan untuk membaca perenggan ini secara senyap sebelum guru dan murid melakukan perbincangan. Perbincangan ini sepatutnya tertumpu pada bagaimana maklumat dalam perenggan pengenalan ini selari dengan maklumat yang diperoleh dalam tiga langkah sebelum ini. Guru boleh mengemukakan soalan untuk mendapatkan respons daripada murid. Contohnya, “Sekarang kita telah membaca permulaan cerpen. Bolehkah ceritakan, bagaimanakah maklumat yang terdapat dalam permulaan ini menyokong sebahagian daripada maklumat yang telah diperoleh semasa kita melakukan tinjauan bab ini?”.

Perenggan Penutup.
Biasanya perenggan penutup bagi bab dalam buku teks adalah ringkasan tentang isi kandungan bab tersebut. Dengan membaca ringkasan tersebut sebelum melakukan pembacaan bab sepenuhnya secara terperinci, pelajar akan memperoleh pengesahan tambahan tentang apa-apa yang diperoleh dalam semua langkah tinjauan sebelum ini. Mengesan Idea Utama. Aukerman mencadangkan, selain langkah 4 dan 5, iaitu membaca dan berbincang tentang maklumat dalam perenggan pengenalan dan perenggan penutup,seluruh kelas perlu berbincang dan membina sebuah pernyataan yang ringkas dan padat(concise) untuk menggambarkan idea utama bab tersebut. Pernyataan tersebut perlu dilihat oleh semua pelajar, sama ada ditulis di papan putih atau ditayangkan melalui tranperensi. Dengan menguasai kemahiran ini, murid bersedia untuk membaca buku-buku teks mata pelajaran sekolah dengan lebih terperinci. Dalam pengajaran cerpen, guru haruslah merumuskan idea-idea utama yang terdapat dalam cerpen sebagai imbas kembali kejadian atau peristiwa penting dalam cerpen tersebut.



No comments:

Post a Comment